KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Nepal (ANFA) telah memfailkan aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menuntut semula tiga mata selepas kekalahan 0-2 kepada Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027, Mac lalu.
Menurut laporan The Guardian, ANFA mendakwa Malaysia menurunkan pemain tidak layak, Hector Hevel, yang turut menjaringkan gol pertama dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac. Gol kedua Malaysia pula disumbangkan oleh Lavere Corbin-Ong.
FIFA sebelum ini telah mengesahkan bahawa Hevel dan enam lagi pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya tidak layak beraksi selepas siasatan mendapati berlaku perlanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Hevel, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM dalam kenyataannya mengakui berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan pentadbiran dan telah memfailkan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA yang kini dalam proses pertimbangan.
Sekiranya rayuan itu ditolak, Malaysia berisiko kehilangan keputusan dua perlawanan menentang Vietnam dan Nepal dengan keputusan 0-3, bergantung kepada keputusan akhir Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Situasi tersebut dijangka memberi kesan besar terhadap kedudukan Kumpulan F dan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
Jawatankuasa Rayuan FIFA kebiasaannya mengambil masa sehingga dua bulan untuk memutuskan kes, namun jika FAM membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), proses tersebut dijangka memakan masa lebih lama.
Dengan kempen kelayakan akan berakhir pada 31 Mac 2026, tekanan semakin memuncak terhadap AFC dan CAS untuk menyelesaikan pertikaian ini segera bagi mengelak gangguan terhadap jadual pertandingan. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FAM