KUALA LUMPUR – Peningkatan representasi politik masyarakat Arab Palestin dalam Parlimen Israel dilihat berpotensi menjadi kekuatan penting untuk mencabar diskriminasi serta memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan pilihan raya Israel pada 27 Oktober lalu yang menyaksikan dua parti Arab diunjurkan memperoleh 19 kerusi memberikan implikasi besar terhadap pembentukan kerajaan negara itu.
Beliau berkata, jumlah berkenaan menjadikan parti-parti Arab antara kuasa penting dalam persamaan politik Israel, khususnya apabila tiada satu blok memperoleh majoriti mudah 61 daripada keseluruhan 120 kerusi Knesset.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan jumlah kerusi itu tidak semestinya membawa perubahan terhadap dasar Israel mengenai Palestin kerana persaingan politik antara parti pemerintah dan pembangkang masih beroperasi dalam kerangka nasionalisme Zionis.
“Persoalannya bukan semata-mata berapa banyak kerusi yang boleh dimenangi, tetapi apakah perubahan substantif yang dapat dicapai melalui penyertaan politik tersebut,” katanya dalam analisis strategik bertajuk Perjuangan Palestin Dalam Politik Israel: Membina Kuasa Politik Arab Palestin, Mencabar Hegemoni Zionisme dan Memperjuangkan Pembebasan, hari ini.
Menurut beliau, masyarakat Arab Palestin yang membentuk kira-kira satu perlima daripada penduduk Israel mempunyai hak mengundi, bertanding dalam pilihan raya Knesset serta menubuhkan parti politik.
Namun, penyertaan politik secara formal tidak semestinya memberikan kuasa yang setara dalam menentukan hala tuju negara.
Katanya, Undang-Undang Asas Israel: Negara Bangsa Rakyat Yahudi 2018 turut menimbulkan persoalan mengenai kesamarataan kewarganegaraan apabila menetapkan hak menentukan nasib sendiri di negara itu khusus kepada rakyat Yahudi.
Sehubungan itu, beliau berpandangan perjuangan masyarakat Arab Palestin perlu bergerak menerusi tiga dimensi utama iaitu hak sivil, pengiktirafan identiti kebangsaan dan pembebasan Palestin.
Mohd Azmi berkata, penyatuan politik Arab juga perlu diberikan perhatian bagi meningkatkan kekuatan representasi mereka, sebagaimana pengalaman gabungan Joint List yang pernah memperoleh 15 kerusi pada pilihan raya 2020.
Selain itu, parti-parti Arab boleh menggunakan kedudukan sebagai kuasa penentu pembentukan kerajaan atau memberikan sokongan dari luar kerajaan bagi mempengaruhi dasar berkaitan kepentingan masyarakat mereka.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kerjasama politik perlu mempunyai prinsip jelas supaya kepentingan masyarakat Arab tidak mengorbankan hak kebangsaan Palestin.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pengukuhan kerjasama antara masyarakat Arab Palestin dengan kelompok Yahudi Israel yang menentang diskriminasi dan menyokong penyelesaian adil bagi Palestin.
Menurutnya, perjuangan berkenaan juga perlu diperluas melalui institusi masyarakat sivil, gerakan wanita, golongan belia, mahasiswa, kesatuan pekerja serta organisasi hak asasi manusia.
Beliau berkata, saluran perundangan menerusi organisasi seperti Adalah dan Association for Civil Rights in Israel (ACRI) turut boleh digunakan bagi mencabar isu diskriminasi tanah, perobohan rumah, ketidaksamarataan pembangunan serta sekatan kebebasan bersuara.
Mengulas hala tuju perjuangan Palestin, Mohd Azmi berkata, sebarang penyelesaian politik perlu mengambil kira hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri, termasuk melalui model penyelesaian dua negara, satu negara demokratik, negara dwinasional atau konfederasi serantau.
“Palestin tidak boleh meletakkan seluruh harapan pembebasannya kepada pertukaran kerajaan di Tel Aviv. Masa depan Palestin mesti ditentukan oleh hak dan kehendak rakyat Palestin sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, perubahan politik sebenar tidak seharusnya diukur berdasarkan siapa yang memerintah Israel, sebaliknya sama ada rakyat Palestin akhirnya memperoleh hak yang selama ini dinafikan. – DETIK MALAYSIA
