Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah menerima plak penghargaan yang disampaikan oleh anak Premier Sarawak, Puan Dayang Norjihan
KUCHING – VFive Group Sdn Bhd menyalurkan sumbangan kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) bagi menyokong usaha memperkukuh kebajikan, pendidikan dan pembangunan masa depan anak-anak yatim di negeri ini.
Sumbangan itu disalurkan menerusi Majlis Jamuan Amal Makan Malam anjuran AD Interact International Sdn Bhd bersama PERYATIM yang berlangsung di Hotel Sheraton, Kuching pada Jumaat.
Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, penyertaan syarikat dalam inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihaknya terhadap tanggungjawab sosial dan amalan berkongsi rezeki dengan masyarakat.
Menurutnya, kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya diukur berdasarkan keuntungan dan pencapaian korporat, sebaliknya turut dinilai menerusi sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat.
“Di VFive Group, kami percaya bahawa kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan dan pencapaian korporat semata-mata, tetapi juga sejauh mana kejayaan tersebut dapat dikongsi untuk membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Justeru, kami berharap sumbangan ini dapat menyokong usaha PERYATIM dalam menyediakan peluang pendidikan dan membina masa depan yang lebih baik buat anak-anak yatim di bawah jagaannya,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menghimpunkan wakil sektor korporat, penaja dan penyumbang bagi mengumpul dana untuk membantu pelaksanaan program kebajikan serta pendidikan anak-anak di bawah jagaan PERYATIM.
Dalam pada itu, beliau berkata, sumbangan itu turut mencerminkan keprihatinan syarikat terhadap kepentingan pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya dalam membantu golongan kurang berkemampuan memperoleh peluang membina masa depan lebih baik.
Katanya, kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor korporat penting bagi memperluas sokongan terhadap kebajikan serta pembangunan potensi golongan kurang bernasib baik.
Selain itu, VFive Group menerusi Yayasan VFive turut melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) merangkumi bantuan kebajikan, sokongan pendidikan dan pembangunan komuniti. – DETIK MALAYSIA
