JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menegaskan corak permainan tekanan tinggi yang dipamerkan pasukannya ketika menewaskan Pohang Steelers 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) bukan sekadar taktikal untuk satu perlawanan.
Sebaliknya, Muñoz berkata, pendekatan itu merupakan identiti utama Harimau Selatan yang sentiasa diterapkan dalam latihan dan perlawanan.
Menurutnya, JDT menitikberatkan tindakan segera untuk merampas semula bola sebaik kehilangannya selain mengekalkan tekanan terhadap pihak lawan.
“Gaya permainan kami jelas. Apa yang cuba kami lakukan adalah bermain dengan tekanan tinggi.
“Penting untuk bertindak balas dengan segera apabila kehilangan bola dan kami banyak berlatih mengenai perkara ini,” katanya selepas kemenangan ke atas Pohang di Stadium Steelyard, Korea Selatan.
Dalam aksi itu, penyerang dari Brazil, Marcos Guilherme muncul wira JDT apabila meledak kedua-dua gol untuk memastikan pasukan itu meraih kemenangan pertama dalam kempen ACLE musim ini.
Guilherme yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan berkata, seluruh pasukan berjaya melaksanakan perancangan ditetapkan sebelum sepak mula.
“Saya sangat gembira kerana pasukan memberikan 100 peratus dan kami menang.
“Kami tahu bukan mudah bermain di Korea menentang pasukan yang kuat, tetapi hari ini kami melakukan tugas dengan baik dan menang,” katanya.
Mengulas perbezaan Liga Jepun (J-League) dan Liga Korea Selatan (K-League), Guilherme berpendapat kedua-dua pertandingan mempunyai persamaan dalam beberapa aspek.
Bagaimanapun, katanya, pasukan Jepun lebih gemar menguasai bola, manakala kelab Korea Selatan cenderung menggunakan hantaran jauh.
Dia turut menyifatkan K-League sebagai liga yang bersifat fizikal dengan kehadiran ramai pemain bertubuh besar.
Muñoz pula berkata, analisis terhadap lawan merangkumi cara mereka membina serangan, memasuki kawasan sepertiga akhir dan kekerapan melakukan percubaan ke arah gol.
Berdasarkan statistik perlawanan, JDT menguasai kira-kira 62 peratus bola dan melakukan 20 percubaan berbanding sembilan oleh Pohang, yang beraksi dengan 10 pemain selepas kaptennya, Jeon Min-gwang dilayangkan kad merah.
Dalam pada itu, Muñoz percaya bola sepak Malaysia sedang menunjukkan perkembangan positif dan memiliki pemain berbakat.
Beliau turut mendedahkan seorang pemain muda berusia 20 tahun dalam skuadnya semakin hampir mendapat peluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.
Katanya, sistem akademi J-League turut dijadikan rujukan untuk meningkatkan pembangunan bola sepak di Malaysia, selain mengakui jadual padat memerlukan penggiliran pemain dilakukan.
Sistem pembangunan akar umbi JDT turut mendapat perhatian selepas produk akademi kelab itu, Daniesh Amirruddin, 20, meledak dua gol ketika membantu Harimau Selatan membelasah PKR Svay Rieng 6-0 dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee, Jumaat lalu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
