JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kemarau kemenangan di bumi Korea Selatan selepas menewaskan Pohang Steelers 2-0 dalam aksi pusingan kedua peringkat liga Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), malam tadi.
Penyerang dari Brazil, Marcos Guilherme muncul wira Harimau Selatan apabila meledak dua gol pada babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan pertama pasukan itu dalam kempen ACLE musim ini.
Kemenangan di Stadium Steelyard itu menyaksikan JDT mengutip empat mata daripada dua perlawanan selepas seri 1-1 menentang Buriram United dalam aksi pembukaan.
Sebaliknya, Pohang terus buntu apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-3 kepada Beijing Guoan sebelum ini.
Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kaptennya, Jeon Min-gwang dilayangkan kad merah susulan semakan video bantuan pengadil (VAR) yang mendapati dia melakukan kekasaran terhadap Shahab Zahedi ketika menjadi pertahanan terakhir sebelum tamat babak pertama.
JDT yang turun dengan Zahedi, Guilherme dan kapten, Arif Aiman Hanapi di jentera serangan terlebih dahulu mengancam kubu lawan.
Zahedi hampir membuka jaringan pada minit ke-16, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol sebelum satu lagi rembatan deras dari sebelah kiri berjaya ditepis penjaga gol Pohang, Hong Sung-min.
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan JDT apabila Guilherme memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi penyudah tenang selepas menerima hantaran Zahedi.
Pohang tetap berusaha mencari gol penyamaan meskipun kekurangan pemain, namun gagal menembusi pertahanan JDT.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz kemudian memasukkan Bergson da Silva dan Jairo da Silva bagi menambah ancaman di bahagian serangan.
Guilherme akhirnya melengkapkan malam gemilangnya pada minit ke-89 apabila menyudahkan bola muntah selepas percubaan Bergson terkena tiang gol untuk memastikan kemenangan 2-0 memihak kepada JDT. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
