MAKASSAR – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (HTK) bersama Presiden SEAAM Indonesia mengadakan lawatan singkat ke Ibu Pejabat Harian Fajar di Makassar, Indonesia, bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan dan pelancongan.
Harian Fajar merupakan akhbar terbesar di luar Pulau Jawa di bawah kumpulan Jawa Pos dan berpusat di Makassar, dengan operasinya bertempat di Gedung Graha Pena yang merupakan bangunan tertinggi di bandar raya berkenaan.
Akhbar itu turut memainkan peranan dalam menyampaikan laporan berita meliputi seluruh Sulawesi Selatan dan Sulawesi Timur, selain Maluku, Papua dan Kalimantan.

Dalam lawatan tersebut, Wakil Ketua Editor Harian Fajar dan SEAAM bersetuju untuk bekerjasama dalam membuat liputan serta mempromosikan program Edu Tourism Homestay Teluk Ketapang.
Kerjasama itu bertujuan menyokong usaha mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan menerusi program Visit Truly Terengganu dan Visit Malaysia 2027.
Koperasi HTK berharap jalinan kerjasama berkenaan dapat memberikan impak positif terhadap promosi program tersebut, selain meningkatkan jumlah pelajar yang menyertai Southeast Asia Olympiad Championship 2027.
Usaha itu juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama rentas negara, khususnya dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan pelancongan antara Malaysia dengan Indonesia. – DETIK MALAYSIA
