DARI KIRI - Nur Fathiah Hanani Suhaibi(kiri) bersama adik-beradiknya dan juga ibunya Noryati binti Mohamed yang berkerusi roda sewaktu hadir ke Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di Kemaman, Terengganu.
KEMAMAN: Keputusan Nur Fathiah Suhaibi, 21, memilih untuk belajar dekat dengan ibunya yang menjalani rawatan dialisis nyata berbaloi apabila beliau meraih Anugerah Rektor pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di sini.
Anak kelahiran Kuala Terengganu itu dibesarkan sepenuhnya oleh ibunya selepas ibu bapanya bercerai ketika beliau berusia dua tahun.
Menurut Fathiah, beliau tidak pernah menyangka akan menerima anugerah berkenaan kerana pada awalnya, tumpuannya hanyalah untuk menamatkan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik.
“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka akan menerima Anugerah Rektor. Saya hanya mahu menamatkan pengajian dan mendapatkan masa depan yang lebih baik.
“Saya pernah terfikir untuk menyambung pengajian di tempat lain, tetapi saya memilih UC TATI kerana mahu berada dekat dengan ibu. Kini, walaupun menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang yang sama, saya masih dapat meluangkan masa untuk menjaganya,” katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu turut menyimpan hasrat untuk membuka perniagaan pusat jagaan kanak-kanak sendiri pada masa hadapan.
Selain pencapaian akademik, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti dan program kolej serta kerja kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Terengganu turut menjadi nilai tambah dalam pemilihannya sebagai penerima Anugerah Rektor.
Fathiah menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang sama di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu.
Pada majlis konvokesyen yang berlangsung Sabtu lalu, Nur Fathiah Hanani Suhaibi menerima Anugerah Rektor daripada Naib Canselor UC TATI, Datuk Ir Kamaluddin Abd Rashid, dengan diiringi Rektor, Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid.
