SHAH ALAM – “Dunia ini palsu. Saya sudah menang.”
Itu antara ayat yang ditemui dalam sekeping nota dipercayai milik remaja lelaki berusia 14 tahun yang menikam rakan sekolahnya dalam kejadian tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, nota berkenaan dirampas ketika tangkapan dilakukan terhadap suspek, bukan di lokasi kejadian seperti yang tular di media sosial.
“Ya, saya sahkan polis ada menemui nota ini. Ia dirampas bersama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan dan bukan di dalam tandas tempat kejadian berlaku.
“Berkaitan kandungan dalam nota ini, ia masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk meneliti latar belakang suspek dan mangsa.
“Setakat ini, tiada unsur buli dikesan dalam kejadian ini. Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua pihak termasuk pihak sekolah serta masyarakat untuk memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam berulang kali oleh rakan sekolahnya kira-kira pukul 9.30 pagi di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - DETIK MALAYSIA