KUALA LUMPUR – Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari salah satu bangunan kolej kediaman universiti itu dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
UM dalam kenyataan rasmi berkata, pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Seluruh warga UM menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.
“Pihak universiti, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar, sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat sukar ini,” kata kenyataan itu.
UM turut memaklumkan bahawa punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa dan universiti memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, universiti berkenaan turut menyeru semua pihak agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian tersebut.
“Universiti juga menyeru seluruh warga kampus agar bersama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham dan ketabahan keluarganya,” katanya. - DETIK MALAYSIA