PETALING JAYA – Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediamannya di universiti berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 5 petang, hasil makluman daripada anggota Balai Polis Pantai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang di sebuah kolej kediaman UM di Petaling Jaya. Mangsa merupakan pelajar lelaki tempatan berusia 22 tahun.
“Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 4.25 petang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Shamsudin, siasatan di tempat kejadian telah dijalankan oleh pasukan Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama pegawai penyiasat.
“Polis turut mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan bedah siasat sedang dijalankan oleh pakar patologi PPUM,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222. - DETIK MALAYSIA