KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah berbahaya dengan rampasan bernilai RM3.85 juta hasil enam siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara 14 hingga 17 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil risikan selama beberapa minggu membawa kepada penangkapan tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 33 hingga 61 tahun.
Katanya, dalam serbuan pertama pada 14 Oktober kira-kira pukul 1.10 petang di kawasan tempat letak kereta atas (rooftop) sebuah pasar raya di Maluri, Cheras, polis menahan seorang lelaki tempatan yang menaiki Perodua Myvi. Pemeriksaan menemukan 1,000 paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 18.31 kilogram.
"Serbuan kedua dijalankan 20 minit kemudian di Pandan Perdana, Ampang Jaya, menahan seorang lagi lelaki tempatan. Hasil soal siasat membawa polis ke sebuah rumah di kawasan sama, yang menahan seorang wanita warga asing serta menemui dadah pelbagai jenis antaranya serbuk MDMA (990 gram), pil Erimin 5 (195 gram), ketamin (32.78 gram) dan pil ecstasy (52.81 gram).
Serbuan ketiga pula dijalankan pada 15 Oktober kira-kira jam 2.30 petang di sebuah kondominium di Pandan Perdana yang menahan seorang lagi wanita warga asing bersama tiga bungkusan plastik lut sinar berisi serbuk MDMA seberat 1.29 kilogram.
“Dalam serbuan keempat di lokasi sama, polis menahan seorang lagi wanita warga asing dengan rampasan 215 gram kapsul disyaki MDMA yang disembunyikan dalam beg berzip putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah lagi unit kondominium yang digunakan sebagai stor pemprosesan dadah dan merampas 7,654 paket plastik berisi serbuk MDMA seberat 419.79 kilogram bersama peralatan memproses dadah.
Serbuan terakhir dilakukan pada 17 Oktober kira-kira pukul 10.10 malam di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 38.71 kilogram ganja dari bonet kereta Honda Civic miliknya.
Keseluruhan rampasan membabitkan 462.76 kilogram serbuk MDMA, 32.78 gram ketamin, 195 gram pil Erimin 5, 52.81 gram pil ecstasy dan 38.71 kilogram ganja – dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.81 juta.
“Jumlah dadah yang dirampas ini mampu merosakkan 1.72 juta individu,” katanya.
Menurut beliau, modus operandi sindiket berkenaan ialah menjadikan unit kondominium sebagai tempat penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan, manakala kawasan parkir pasar raya dijadikan lokasi transaksi.
Siasatan awal mendapati sindiket pertama aktif sejak Februari lalu manakala sindiket kedua mula bergerak sejak September dan menjual ganja di sekitar Lembah Klang.
“Ujian air kencing terhadap semua suspek didapati negatif, namun dua daripada mereka mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan. Semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Polis turut menyita pelbagai barangan bernilai RM41,000 termasuk wang tunai RM10,400, barang kemas serta jam tangan mewah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Keberhasilan ini hasil risikan berterusan JSJN IPK Kuala Lumpur dan kerjasama orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah,” tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah diminta menyalurkannya melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Ihsan Makkal Osai