WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan akan melakukan lawatan ke Malaysia hujung bulan ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Trump dalam satu sidang media di Rumah Putih semalam selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
“Kami akan mengadakan pertemuan. Saya akan berada di Malaysia, juga di Jepun. Saya mahu hubungan yang baik dengan China, saya suka hubungan saya dengan Presiden Xi,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Kyodo News Jepun.
Lawatan tersebut merupakan kali pertama Trump mengunjungi rantau Asia sejak memulakan penggal kedua pemerintahannya pada Januari lalu.
Menurut sumber kerajaan Jepun, Trump dijangka tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun untuk lawatan rasmi selama tiga hari bermula 27 Oktober.
Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini dijangka menerima kehadiran beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
Trump dijangka menamatkan rangka lawatannya di Asia dengan menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan diadakan di Gyeongju, Korea Selatan pada 31 Oktober hingga 1 November depan.
Lawatan ini dijangka memberi impak besar terhadap hubungan diplomatik dan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan negara-negara Asia, termasuk Malaysia. - DETIK MALAYSIA