KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menerima kunjungan hormat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Fadlun Mak Ujud, bagi membincangkan beberapa agenda pembangunan utama demi masa depan ibu negara.
Anwar berkata, pertemuan itu memberi fokus terhadap usaha memperkukuh projek River of Life, menetapkan hala tuju pembangunan bandar yang lebih terancang serta mempercepatkan proses kelulusan One Stop Centre (OSC).
Katanya, perbincangan turut menekankan usaha memperbaiki ekosistem penjaja dan peniaga kecil agar mereka terus diberikan ruang, sokongan dan peluang saksama dalam sektor ekonomi bandar raya.
“Saya yakin kepakaran profesional dan pengalaman beliau sebelum ini akan memperkukuh pelaksanaan pembangunan yang lebih mampan, seterusnya memastikan Kuala Lumpur terus melangkah sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan selaras dengan nilai-nilai Madani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada Fadlun dalam melaksanakan tugas serta meneruskan kesinambungan kerja baik bekas Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, bagi terus mengangkat imej Kuala Lumpur ke peringkat lebih cemerlang dan disegani.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pelantikan Fadlun, 58, telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Fadlun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan mempunyai pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah serta pengurusan bandar raya.
Sebelum pelantikan ini, beliau menyandang sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM