SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya pelanggaran sistematik dan berterusan yang didakwa dilakukan oleh rejim Israel sepanjang fasa pertama perjanjian genjatan senjata di Gaza.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kegagalan komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran yang didakwa berlaku telah mewujudkan budaya kekebalan, sekali gus menafikan perlindungan kepada penduduk awam Palestin.
Menurut beliau, apa yang digelar sebagai fasa kedua genjatan senjata hakikatnya berpotensi menjadi 'lesen terbuka' untuk meneruskan penindasan, sekiranya pelanggaran terdahulu dibiarkan tanpa siasatan dan tindakan.
Katanya, beliau memberi amaran bahawa fasa kedua berisiko menjadi medan jenayah lebih besar tanpa sebarang akauntabiliti, dengan sokongan politik serta ketenteraan Amerika Syarikat.
Berdasarkan kenyataan rasmi Pejabat Media Kerajaan di Gaza bertarikh 15 Januari 2026, perjanjian genjatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025 didakwa telah dilanggar selama 95 hari berturut-turut.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,244 pelanggaran direkodkan, merangkumi 402 insiden tembakan langsung terhadap orang awam, 66 pencerobohan ketenteraan ke kawasan perumahan, 581 pengeboman serta serangan ke atas rumah penduduk, dan 195 tindakan perobohan serta pemusnahan bangunan awam dan institusi.
Pelanggaran berkenaan mengakibatkan 449 orang syahid setakat dibawa ke hospital, 1,246 orang awam cedera, selain 50 kes penahanan haram yang dilaporkan. MAPIM menegaskan, angka tersebut membuktikan wujudnya pola pelanggaran yang disengajakan dan sistematik, sekali gus tergolong sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mapim turut mendakwa Israel mensabotaj pelaksanaan protokol kemanusiaan yang termaktub dalam perjanjian genjatan senjata. Bagi kemasukan bantuan kemanusiaan, hanya 24,611 trak dibenarkan masuk berbanding 57,000 trak yang sepatutnya, dengan purata 259 trak sehari, jauh lebih rendah daripada sasaran 600 trak sehari, bersamaan kadar pematuhan 43 peratus.
Keadaan lebih kritikal melibatkan bekalan bahan api apabila hanya 601 trak dibenarkan masuk daripada 4,750 trak yang dijadualkan, dengan purata enam trak sehari berbanding keperluan 50 trak, iaitu kadar pematuhan sekadar 12 peratus.
Sekatan itu, menurut Mapim, telah melumpuhkan operasi hospital, bakeri, sistem air dan sanitasi serta perkhidmatan kecemasan, sekali gus mendorong kepada kebuluran terancang dan hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza.
Selain itu, Israel juga didakwa terus menghalang kemasukan rumah mudah alih, karavan serta khemah, sekali gus mencetuskan krisis perlindungan yang serius ketika musim sejuk.
Mapim melaporkan lebih 50 bangunan rosak runtuh, puluhan penduduk terbunuh atau cedera ketika berlindung di bangunan yang telah dibom, lebih 127,000 khemah tidak lagi boleh digunakan, manakala sekitar 1.5 juta pelarian terdedah tanpa perlindungan.
Kematian akibat kesejukan melampau turut direkodkan, khususnya melibatkan kanak-kanak dan warga emas, yang disifatkan MAPIM sebagai satu bentuk “genosid perlahan melalui pengabaian yang disengajakan”.
Mapim menegaskan, peralihan ke fasa kedua genjatan senjata tanpa penguatkuasaan dan akauntabiliti hanya akan mengganjari perlakuan jenayah. Menurut pertubuhan itu, genjatan senjata yang tidak melindungi orang awam bukanlah keamanan, sebaliknya helah untuk mengekalkan penindasan melalui kebuluran, ugutan dan keletihan.
Sehubungan itu, Mapim meletakkan tanggungjawab penuh ke atas Israel bagi semua kematian dan kemusnahan sepanjang tempoh genjatan, serta tanggungjawab politik ke atas Amerika Syarikat kerana membenarkan kekebalan berterusan.
Mapim menggesa Donald Trump, para penaja dan penjamin perjanjian, pengantara, komuniti antarabangsa serta United Nations supaya segera memaksa pelaksanaan penuh genjatan senjata, menguatkuasakan protokol kemanusiaan tanpa manipulasi, menjamin kemasukan tanpa halangan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan perlindungan, serta memecahkan kepungan Gaza dengan segera.
“Genjatan senjata yang membenarkan kebuluran, pengeboman dan kematian beramai-ramai bukan keamanan. Diam pada saat ini adalah persongkolan, dan kelewatan adalah membunuh," katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - AFP