KUALA LUMPUR – Seramai 217 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua pusat beli-belah sekitar ibu negara, hari ini.
Operasi yang dijalankan dari pukul 11 pagi hingga 2 petang itu membabitkan pusat beli-belah Kotaraya, Kuala Lumpur dan Galaxy Ampang, Selangor.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 876 individu diperiksa di Kotaraya membabitkan 652 warga asing dan 224 warga tempatan.
“Di Galaxy Ampang pula, seramai 654 individu diperiksa terdiri daripada 394 warga asing dan 260 warga tempatan.
“Secara keseluruhan, 1,530 individu diperiksa sepanjang operasi ini,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 217 PATI berusia antara 21 hingga 63 tahun.
“Mereka terdiri daripada 55 lelaki dan 162 wanita melibatkan warga Indonesia, Nigeria, Pakistan, Bangladesh, Filipina, India, Myanmar dan Nepal,” katanya.
Lokman Effendi berkata, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa ketika serbuan dijalankan.
“Kita turut mengesan rekod keluar masuk Malaysia yang tidak teratur serta menemui MyKad disyaki palsu sebelum diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta memiliki kad tidak diiktiraf.
Dalam operasi sama, seramai 120 pegawai imigresen pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat JIM dengan kerjasama 13 pegawai JPN Putrajaya terbabit.
“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Beranang dan KLIA bagi siasatan serta tindakan lanjut,” katanya. - DETIK MALAYSIA