KUALA TERENGGANU – Asosiasi Home Stay Teluk Ketapang, Terengganu mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Homestay Terbaik Terengganu 2025 pada Majlis Anugerah Seri Iman Negeri Terengganu yang berlangsung pada 31 Disember lalu.
Penghargaan berprestij itu disampaikan oleh Datuk Razali Idris yang mewakili Menteri Besar Terengganu, dengan penerima turut membawa pulang piagam penghargaan serta wang tunai berjumlah RM2,000.
Presiden Asosiasi Home Stay Teluk Ketapang, Azmi M. Abdul Aziz, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai kejayaan bersama seluruh pengusaha homestay di kawasan berkenaan.
“Penghargaan ini milik bersama komuniti Homestay Teluk Ketapang yang sentiasa komited melaksanakan pelbagai program serta aktiviti dalam menyokong industri pelancongan dan kerjasama antarabangsa yang semakin meluas,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama erat barisan pengurusan dan ahli yang sentiasa berusaha meningkatkan potensi pelancongan negeri Terengganu.
“Anugerah ini menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta melaksanakan program yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan bersama,” katanya. - DETIK MALAYSIA