KUALA LUMPUR – Seorang pendaki berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Dinding, di sini, hari oii.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, dua pasukan penyelamat termasuk anggota Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut APM, setibanya di lokasi, pasukan penyelamat terpaksa mendaki sejauh kira-kira satu kilometer mengikut laluan trek sebelum meneruskan pergerakan sejauh lebih kurang 70 meter di luar trek.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian sekitar 20 meter di kawasan berkecerunan kira-kira 75 darjah,” menurut kenyataan itu.
Selepas berjaya tiba di lokasi mangsa, pasukan penyelamat menyerahkan mangsa kepada pasukan EMS untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – APM Daerah Kuala Lumpur