PETALING JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pelakon lelaki yang mendakwa menjadi mangsa perbuatan luar tabii, dipercayai berlaku ketika mangsa masih kanak-kanak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkaitan kes berkenaan pada Sabtu lalu.
Menurut beliau, laporan polis itu dibuat oleh seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah balai polis di ibu negara pada pukul 6.11 petang.
“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kes perbuatan luar tabii pada 31 Januari 2026. Kes ini masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, individu terbabit memuat naik satu kenyataan di media sosial dengan mendakwa pernah menjadi mangsa perbuatan tersebut ketika masih kanak-kanak.
Menurut dakwaan itu, kejadian berkenaan melibatkan individu yang lebih berusia, mempunyai kedudukan tertentu serta didakwa mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
Individu berkenaan turut mendakwa perbuatan tersebut berlaku sejak sekian lama dan dia hanya berani tampil bersuara selepas berada dalam keadaan lebih selamat serta stabil untuk berkongsi perkara yang berlaku.
Katanya, pendedahan itu dibuat bukan atas dasar dendam, sebaliknya bertujuan memberi kesedaran selain melindungi pihak lain yang mungkin pernah melalui pengalaman hampir sama. – DETIK MALAYSIA