SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan mengusir Médecins Sans Frontières (MSF) dari sebuah wilayah berdaulat atas dakwaan tidak berasas bahawa organisasi itu merupakan infrastruktur ketenteraan dan melindungi keganasan.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan tersebut adalah tidak pernah berlaku sebelum ini dan amat berbahaya, selain menyamai naratif yang digunakan pihak rejim Israel untuk menjenayahkan hospital, ambulans, doktor dan pesakit di Gaza.
Menurut beliau, tuduhan tersebut bukan sekadar retorik semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada strategi lebih luas untuk memfitnah kerja-kerja kemanusiaan, menghapuskan perlindungan terhadap orang awam serta mewajarkan kekejaman besar-besaran.
“Ini merupakan serangan langsung terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Tindakan mengusir MSF jelas melanggar Konvensyen Geneva yang melindungi kakitangan dan fasiliti perubatan, Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menganggap serangan terhadap pekerja kemanusiaan sebagai jenayah, serta Piagam PBB yang menjamin akses kemanusiaan di zon konflik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim menegaskan bahawa dengan melabel institusi penyelamat nyawa sebagai “perisai keganasan”, tindakan tersebut melemahkan asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan meletakkan nyawa semua petugas bantuan dalam risiko.
Dalam pada itu, Mohd. Azmi berkata, apa yang berlaku terhadap MSF mencerminkan propaganda sama yang digunakan untuk memusnahkan sistem kesihatan di Gaza, termasuk mengebom hospital serta menahan, menyeksa dan membunuh doktor.
“Ini bukan soal keselamatan. Ini adalah normalisasi hukuman kolektif,” tegasnya.
Sehubungan itu, Mapim menuntut empat tindakan segera dilaksanakan, iaitu pembatalan serta-merta pengusiran MSF, siasatan antarabangsa bebas terhadap tuduhan palsu, perlindungan penuh terhadap semua pekerja kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa serta akauntabiliti terhadap mana-mana pihak yang menjenayahkan bantuan perubatan.
“Kerja kemanusiaan bukan keganasan. Merawat bukan jenayah. Membungkam doktor tidak akan membungkam kebenaran,” katanya. – DETIK MALAYSIA