PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki dan sebuah bot pancung dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal tangki berkenaan dikesan kira-kira pukul 12.30 tengah malam menerusi pemantauan radar Area Control Centre (ACC) Klang sebelum bot peronda digerakkan ke lokasi sejauh 18.9 batu nautika barat daya Kuala Sungai Besar.
Menurut beliau, kapal itu dikendalikan seorang kapten warga China bersama 21 kru terdiri daripada 11 warga China, lapan Myanmar dan dua Bangladesh berusia antara 24 hingga 52 tahun.
“Semakan mendapati semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, namun kapten gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh. Kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perintah penahanan telah dikeluarkan dan kapten bersama pegawai jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam kes berasingan, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan kira-kira pukul 5.10 petang di kedudukan 1.55 batu nautika barat Kapar selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan,” jelasnya.
Abdul Muhaimin berkata, bot dan individu terbabit diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti haram di perairan Selangor.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 untuk tindakan segera. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Maritim Selangor