KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius penahanan dua individu termasuk seorang pendakwah bebas yang disyaki bersubahat menyalahgunakan kuasa membabitkan dana kira-kira RM600,000.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kes berkenaan jelas memperlihatkan fenomena ‘penunggang agama’ apabila imej dakwah serta kepercayaan umat didakwa dieksploitasi demi kepentingan peribadi.
Menurut beliau, agama, dakwah dan derma awam tidak seharusnya dijadikan topeng untuk pecah amanah serta konflik kepentingan.
“Kelulusan bayaran tanpa persetujuan rakan kongsi serta kegagalan kawalan dalaman menunjukkan wujudnya unsur salah guna kuasa yang serius, bukannya sekadar kelemahan pentadbiran semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jais menegaskan bahawa status sebagai pendakwah tidak memberikan kekebalan undang-undang mahupun moral.
“Malah, golongan ini sepatutnya tertakluk kepada piawaian integriti yang lebih tinggi kerana mereka membawa nama agama di ruang awam,” tambahnya.
Sehubungan itu, MCW menyokong penuh siasatan tegas dan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk penelusuran aliran wang serta penentuan tanggungjawab individu yang terlibat.
“Agama bukan lesen. Dakwah bukan perisai. Penunggang agama mesti dihentikan,” katanya.
Terdahulu, Detik Malaysia melaporkan SPRM Kedah menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalah guna kuasa meluluskan kira-kira RM600,000.
Tindakan itu dipercayai sebagai balasan bayaran bagi tujuan mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.
Perintah reman selama sehari sehingga esok terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Noorfazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi tadi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI