AGAM – Asosiasi Home Stay Teluk Ketapang, Terengganu, Malaysia menyalurkan bantuan donasi kepada mangsa bencana Sumatera Barat dengan menyerahkan sumbangan di Nagari Palembayan, Kabupaten Agam, 4 Februari lalu.
Bantuan yang dihimpunkan oleh Koperasi Home Stay Teluk Ketapang Malaysia bersama Persatuan Puteri Islam Terengganu (FFU) itu berjumlah Rp10 juta (kira-kira RM3,000) dan diserahkan terus kepada keluarga terjejas.
Misi bantuan tersebut dipimpin M. Azmi bin M. Azis dan Norehan Sulong, dengan penyerahan turut diiringi Ketua Bidang GTK Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Bukittinggi, Masri, M.Pd.
Menurut Azmi, sumbangan itu adalah amanah daripada para penyumbang yang digerakkan melalui koperasi dan persatuan terbabit.
“Selaras dengan amanah para donatur yang dihimpun melalui Koperasi Home Stay dan Persatuan Puteri Islam Terengganu, sebanyak Rp10 juta diserahkan terus kepada keluarga terkesan,” katanya.
Antara penerima bantuan ialah keluarga Deki Suarman yang kehilangan isteri dan anak akibat dihanyutkan arus dan ditemukan selepas tiga hari.
Turut menerima sumbangan ialah keluarga Suarman yang kehilangan isteri dan tiga anak, selain keluarga Hendrizal yang dua anaknya berusia lapan hingga 10 tahun masih belum ditemukan setakat ini.
Azmi berkata, pihaknya amat prihatin selepas melihat sendiri keadaan keluarga terlibat dan berharap mereka diberikan ketabahan menghadapi ujian berat itu.
“Kita berharap semua pihak dapat bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya kehidupan mereka dapat diteruskan semula,” ujarnya.
Sementara itu, Masri merakamkan penghargaan kepada masyarakat Teluk Ketapang dan Terengganu atas keprihatinan yang dizahirkan, sekali gus memperkukuh silaturahim dan persaudaraan antara masyarakat serumpun Malaysia dan Indonesia.
Keluarga penerima turut menzahirkan ucapan terima kasih serta mendoakan agar para penyumbang dikurniakan keberkatan atas sumbangan yang diberikan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Tumpak. AS