SHAH ALAM – Tiga pertubuhan Islam menggesa masyarakat antarabangsa segera bertindak susulan sekatan dikenakan terhadap Imam Besar dan jemaah di Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Alliance of World Mosques in Defence of Al Aqsa (MANAR) dan Secretariate for the Ulama Assembly of Asia (SHURA) dalam kenyataan bersama 1 Ramadan 1447H bersamaan 19 Februari 2026 mengecam tindakan pihak berkuasa Zionis Israel yang didakwa terus menyekat akses umat Islam ke kawasan suci itu.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan berkenaan adalah pencabulan hak kebebasan beragama serta provokasi terhadap sensitiviti umat Islam.
“Larangan terhadap Imam Besar dan sekatan terhadap jemaah ketika Ramadan adalah tidak boleh diterima.
“Ia bukan sahaja menindas, malah mencerminkan usaha berterusan mengubah status quo Al-Haram Al-Sharif,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sekatan yang dikenakan terutama terhadap rakyat Palestin dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis semakin diperketat setiap kali Ramadan, ketika umat Islam berhimpun dalam jumlah besar untuk beribadah.
Mapim turut mendakwa berlaku pencerobohan oleh pelampau ke dalam kawasan masjid, gangguan terhadap jemaah serta peningkatan kawalan keselamatan yang mencetuskan ketegangan.
“Sekatan berterusan terhadap ibadah di Masjid Al-Aqsa ketika Ramadan tidak boleh dinormalisasikan.
“Berdiam diri terhadap ketidakadilan hanya akan menggalakkan pelanggaran lebih besar,” katanya.
Sehubungan itu, tiga pertubuhan berkenaan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan kebebasan beribadah dilindungi.
Mereka turut mendesak Organisation of Islamic Cooperation (OIC) mengadakan sidang tergempar serta meminta United Nations (PBB) menguatkuasakan resolusi berkaitan hak beragama di wilayah diduduki.
Kenyataan bersama itu turut ditandatangani Pengerusi MANAR, Datuk Seri Syekh Ahmad Awang dan Pengerusi SHURA, Datuk Wira Syekh Abdul Ghani Samsudin.
Mapim menegaskan, mempertahankan Masjid Al-Aqsa bukan hanya tanggungjawab rakyat Palestin, sebaliknya amanah bersama umat Islam dan semua pihak yang menjunjung kebebasan beragama. – DETIK MALAYSIA