KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak sepatutnya terburu-buru membuat tuduhan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum siasatan selesai sepenuhnya.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Bersih berhubung siasatan terhadap individu tertentu yang dikaitkan dengan kes berprofil tinggi baru-baru ini dilihat terlalu tergesa-gesa.
Menurutnya, tindakan tersebut berisiko mewujudkan persepsi negatif terhadap institusi penguatkuasaan walaupun fakta sebenar siasatan masih belum diperoleh secara menyeluruh.
“Sebagai badan penguatkuasaan yang diberi mandat oleh undang-undang, SPRM mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu yang difikirkan perlu bagi membantu proses siasatan.
“Memanggil individu memberi keterangan, mengesan mereka yang gagal tampil membantu siasatan serta tindakan lanjut oleh agensi penguatkuasaan merupakan prosedur biasa dalam mana-mana penyiasatan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, melabel usaha tersebut sebagai ‘intimidasi politik’ tanpa bukti jelas bukan sahaja tidak adil kepada SPRM, malah boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi yang memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah.
Tambahnya, perjuangan menentang rasuah memerlukan pendekatan yang seimbang, adil dan berasaskan fakta.
“Kritikan terhadap institusi penguatkuasaan memang wajar dalam negara demokrasi, namun ia perlu dibuat secara bertanggungjawab, bersandarkan bukti dan bukan sekadar persepsi atau spekulasi politik,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata semua dakwaan termasuk yang dilaporkan media antarabangsa seperti Bloomberg juga perlu disiasat secara telus dan profesional.
Katanya, prinsip keadilan menuntut agar semua pihak sama ada yang membuat dakwaan mahupun pihak yang didakwa diberikan ruang melalui proses undang-undang yang adil.
“Menuduh secara melulu bahawa institusi penguatkuasaan telah ‘dipersenjatakan’ untuk tujuan politik tanpa bukti kukuh boleh memberi kesan buruk kepada usaha nasional memerangi rasuah.
“Malah ia juga berpotensi melemahkan institusi yang sepatutnya diperkukuh,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menyeru semua pihak supaya memberi ruang kepada proses siasatan berjalan secara telus dan profesional tanpa tekanan politik atau manipulasi persepsi.
“Keadilan tidak boleh ditegakkan melalui persepsi, sebaliknya perlu berasaskan fakta serta proses undang-undang yang adil,” katanya. – DETIK MALAYSIA