KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjalankan pemeriksaan ketulenan logam berharga di beberapa premis sekitar pusat bandar Kuala Lumpur sempena persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pemeriksaan itu melibatkan pemilihan antara tiga hingga enam sampel logam berharga secara rawak daripada setiap premis untuk diuji menggunakan alat X-Ray Fluorescence (XRF).
“Keputusan pemeriksaan mendapati kesemua sampel logam berharga yang diuji mematuhi standard ketulenan seperti yang ditandakan dengan peratusan komposisi sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semakan turut mendapati alat penimbang di setiap premis masih berada dalam tempoh sah penentusahan manakala harga semasa logam berharga dipamerkan dengan jelas bagi memastikan ketelusan kepada pengguna.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap resit jualan juga mendapati semua premis mematuhi 10 perkara wajib seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Diperbuat Daripada Logam Berharga) 1994.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama logam berharga di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011,” ujarnya.
Tambah beliau, KPDN akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan pengguna khususnya dalam penjualan barangan logam berharga. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI