BUKIT JALIL – Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kini dikenali sebagai TM Stadium Nasional (SNTM) selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjalin kerjasama penjenamaan hak nama bersama Telekom Malaysia (TM).
Kerjasama strategik selama tiga tahun itu melibatkan dua venue sukan utama negara dengan matlamat memastikan kemudahan stadium terus moden, berdaya saing serta mampu menjadi tuan rumah kepada acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa.
Di bawah perjanjian tersebut, penjenamaan baharu berkuat kuasa mulai 6 Mac 2026, menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil dinamakan semula sebagai TM Stadium Nasional, manakala Axiata Arena yang sebelum ini dikenali sebagai Stadium Putra kini dikenali sebagai Unifi Arena.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting bagi memastikan kelestarian jangka panjang stadium kebangsaan.
“Kerjasama penjenamaan ini merupakan inisiatif untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang kedua-dua stadium.
“Dana yang dijana menerusi kerjasama ini akan disalurkan bagi menaik taraf kemudahan stadium serta memberi pengalaman yang lebih selesa dan menarik kepada pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya berbangga diberi kepercayaan untuk memegang hak penjenamaan dua venue yang menjadi simbol sukan negara.
“Kami berbesar hati diberi peluang memegang hak penjenamaan bagi venue kebangsaan ini.
“Stadium Nasional dan Stadium Putra bukan sekadar lokasi acara, tetapi simbol kebanggaan negara yang menyatukan rakyat Malaysia,” katanya.
Sejak sekian lama, Stadium Nasional Bukit Jalil dan Axiata Arena menjadi pentas utama pelbagai acara sukan dan hiburan di negara ini termasuk perlawanan bola sepak antarabangsa, kejohanan badminton dunia serta konsert berskala besar.
Dengan penjenamaan baharu sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena, kedua-dua venue tersebut dijangka terus mengukuhkan reputasi sebagai destinasi utama bagi acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI