KLANG – Seorang lelaki cedera selepas lori dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran Saujana Putra menghala ke Klang di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 11.26 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira pukul 11.44 pagi, iaitu sejauh 17 kilometer dari balai.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga buah lori iaitu lori jenis UD 10 tan, lori Hino 8 tan dan sebuah treler.
“Seorang mangsa lelaki berusia 59 tahun didapati tersepit di dalam lori Hino 8 tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba menjalankan operasi menyelamat sebelum berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 12 tengah hari.
Mangsa yang berada dalam keadaan sedar kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut dan dipercayai mengalami kecederaan dalaman. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JBPM Selangor