SHAH ALAM – Kejayaan kerajaan memulihkan RM15.5 bilion hasil negara dalam tempoh dua tahun membuktikan ketirisan boleh dibendung menerusi penguatkuasaan tegas oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan itu menunjukkan ketirisan berpunca daripada kelemahan sistem, penyalahgunaan kuasa serta kegagalan integriti yang kini mula diperbetulkan.
Menurutnya, pemulihan berkenaan perlu menjadi titik permulaan kepada reformasi lebih menyeluruh dan bukan sekadar kejayaan jangka pendek.
“Setiap ringgit yang tiris adalah hak rakyat yang dinafikan. Dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan tekanan ekonomi global semakin mencabar, ketirisan berbilion ringgit adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dana tersebut sepatutnya dimanfaatkan untuk memperkukuh subsidi bersasar, meningkatkan sekuriti makanan, menambah baik sistem kesihatan dan pendidikan serta membangunkan komuniti luar bandar termasuk Felda.
Tambahnya, usaha penguatkuasaan perlu disusuli reformasi struktur termasuk pendigitalan sistem hasil negara bagi menutup ruang manipulasi, selain meningkatkan ketelusan dalam pelaporan pemulihan dana.
“Rakyat berhak mengetahui jumlah sebenar yang dipulihkan, sumber ketirisan dan bagaimana dana diagihkan. Pemantauan bebas juga penting bagi memastikan tiada campur tangan politik,” katanya.
Mohd Azmi berkata, pendekatan pencegahan perlu diberi keutamaan berbanding hanya menghukum, termasuk melalui mekanisme audit berterusan.
“Usaha membanteras ketirisan adalah komponen penting dalam membina daya tahan ekonomi negara. Negara tidak mampu bertahan dalam krisis global jika hasil terus bocor,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan menjadikan pembanterasan ketirisan sebagai agenda nasional berterusan, agensi penguat kuasa bertindak tanpa kompromi serta rakyat menolak budaya rasuah.
“Pemulihan RM15.5 bilion adalah bukti perubahan boleh berlaku apabila ada ketegasan dan keazaman. Namun, kejayaan sebenar ialah apabila ketirisan dapat dihentikan secara konsisten dan sistemik.
“Hasil negara adalah amanah rakyat, setiap ketirisan adalah pengkhianatan,” katanya. – DETIK MALAYSIA