Pengurus pasukan UC TATI, Ahmad Nur Aiman Ahmad Jalani(tiga dari kanan) bersama barisan atlet yang kini dalam misi memburu podium siri kedua Varsity Track & Field 2026 yang berlangsung selama tiga hari berakhir pada 7 Jun 2026 bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu.
KUALA NERUS – Walaupun masih dianggap antara pasukan paling baharu dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF), UC TATI tidak berhasrat sekadar melengkapkan saingan apabila meletakkan sasaran untuk melihat atletnya menembusi skuad Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026.
Memasuki tahun kedua penyertaan, institusi pengajian tinggi yang berpangkalan di Kemaman itu semakin memperlihatkan kematangan apabila berjaya membina kekuatan tersendiri dalam acara jarak jauh dan lari berhalangan.
Pengurus pasukan, Ahmad Nur Aiman Ahmad Jalani berkata, pencapaian musim lalu menjadi bukti bahawa UC TATI mampu bersaing dengan universiti yang lebih berpengalaman meskipun masih dalam proses membentuk identiti di pentas olahraga universiti.
Menurutnya, tumpuan kini terarah kepada usaha meningkatkan prestasi atlet agar berupaya memenuhi kriteria pemilihan ke AUG selain memperkukuhkan kedudukan pasukan dalam carta keseluruhan VTF.
“Ramai atlet kami masih aktif bertanding di peringkat kompetitif dan mempunyai potensi untuk diketengahkan ke AUG. Itu menjadi antara motivasi utama pasukan musim ini.
“Acara 3,000 meter lari berhalangan, 3,000 meter dan 5,000 meter terus menjadi sandaran utama kami berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya.
Pada edisi lalu, UC TATI mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan daripada 21 universiti yang bertanding, pencapaian yang disifatkan memberangsangkan bagi pasukan yang masih baharu dalam kejohanan tersebut.
Momentum positif itu diteruskan dalam kempen VTF 2026 apabila UC TATI membawa pulang dua pingat emas pada siri pembukaan yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan 400 meter lari berpagar lelaki.
Ahmad Nur Aiman berkata, kejayaan berkenaan telah meningkatkan keyakinan atlet untuk terus mencabar pencabar lain pada siri kedua.
“Keputusan yang diraih pada siri pertama memberi suntikan semangat kepada seluruh pasukan. Ia membuktikan atlet kami mempunyai kemampuan untuk bersaing dan meraih keputusan yang konsisten.
“Kami mahu mengekalkan rentak tersebut di UniSZA dan dalam masa sama menambah koleksi pingat pasukan,” katanya.
Bagi siri kedua yang sedang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UC TATI mempertaruhkan tujuh atlet dalam beberapa acara utama dengan harapan dapat memperbaiki pencapaian keseluruhan mereka.
Sejak diperkenalkan pada 2022, VTF muncul sebagai antara platform utama pembangunan olahraga universiti di negara ini serta menjadi gelanggang penting dalam proses mengenal pasti atlet yang berpotensi mewakili negara ke AUG dan Sukan Universiti Dunia FISU.