PORTIMAO – Pelumba muda negara, Hakim Danish berjaya menempah slot di barisan keempat selepas menduduki tempat ke-12 pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, semalam.
Lebih membanggakan, pelumba berusia 19 tahun itu mempamerkan peningkatan prestasi apabila berjaya memperbaiki catatan masa lebih 1.4 saat berbanding sesi latihan bebas kedua (FP2) pada sebelah pagi.
Mewakili pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSI, Hakim yang menunggang jentera KTM mencatat masa terpantas 1 minit 46.680 saat pada sesi kelayakan kedua (Q2) dalam keadaan litar kering.
Pada sesi FP2 sebelum itu, pelumba kelahiran Malaysia berkenaan menamatkan saingan di kedudukan ke-17 dengan catatan masa 1:48.121 saat selepas melakukan 15 pusingan.
Catatan tersebut menyaksikan dia ketinggalan 1.559 saat berbanding pelumba terpantas, Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team yang merekodkan masa 1:46.562 saat.
Hakim kemudian menunjukkan peningkatan ketara pada sesi Q2 apabila memperbaiki catatan masa kepada 1:46.680 saat pada pusingan keenam daripada tujuh pusingan dilakukan.
Dia turut merekodkan kelajuan maksimum 244.8 kilometer sejam dalam sesi berkenaan.
Bagaimanapun, Hakim terlepas peluang untuk berada di kedudukan ke-11 apabila ketinggalan hanya 0.002 saat kepada pelumba Sepanyol, Adrian Cruces yang mencatat masa 1:46.678 saat.
Kedudukan petak pertama menjadi milik David Almansa daripada pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP selepas mencatat masa 1:45.652 saat, sekali gus memecahkan rekod pusingan keseluruhan Moto3.
Dengan keputusan itu, Hakim akan memulakan perlumbaan GP Portugal sejauh 19 pusingan atau 87.248 kilometer dari petak ke-12 hari ini.
Dia turut muncul pelumba Asia Tenggara terbaik dalam sesi kelayakan, mengatasi pelumba Indonesia, Veda Pratama yang berada di tempat ke-16 dan wakil Thailand, Kiattisak Singhapong di kedudukan ke-22.
Rakan sepasukannya, Ryusei Yamanaka pula terpaksa berpuas hati di tempat ke-19 selepas gagal melayakkan diri ke Q2. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
