KUALA LUMPUR – Impian skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negara untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan tidak kesampaian selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang India dalam aksi terakhir Kumpulan E, malam tadi.
Keputusan 0-0 di Stadium KLFA itu menyaksikan skuad kendalian Shukor Adan gagal mencapai sasaran kemenangan besar yang diperlukan untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir.
Malaysia turun berdepan India dengan peluang untuk layak masih terbuka secara matematik selepas Palestin mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Singapura dalam satu lagi aksi Kumpulan E.
Kemenangan Palestin itu menyaksikan mereka mengumpul sembilan mata sekali gus menyebabkan Malaysia perlu menewaskan India dengan kelebihan sekurang-kurangnya tiga gol untuk mengesahkan kemaraan.
Bagaimanapun, skuad muda negara gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri meskipun memulakan perlawanan dengan agresif menerusi tekanan tinggi terhadap benteng pertahanan India.
Malaysia hampir membuka jaringan seawal minit kelima menerusi percubaan Nur Hisham dari jarak kira-kira 20 meter, namun rembatan kencangnya sekadar menggegar tiang gol.
Skuad Young Tigers terus menguasai permainan selepas rehat dan berusaha mencari gol kemenangan, namun peluang terbaik pada minit ke-60 menerusi pertahanan, Muhammad Harraz Ajwad gagal menemui sasaran.
India yang dibimbing Mehrajuddin Wadoo pula kekal berdisiplin di bahagian pertahanan dengan penjaga gol, Maroof Shafi memainkan peranan penting mengekang asakan tuan rumah sehingga tamat perlawanan.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen kelayakan di tempat ketiga Kumpulan E dengan tujuh mata, di belakang Palestin yang mengumpul sembilan mata.
Sebaliknya, India muncul juara kumpulan dengan 10 mata tanpa tewas sekali gus mengesahkan penampilan berturut-turut pada pusingan akhir Piala Asia B-17 selepas turut layak ke edisi 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
