KUALA LUMPUR – Imigresen FC II sah menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 selepas mengharungi lapan perlawanan dalam kempen musim ini.
Keputusan itu dimaklumkan secara rasmi kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) menerusi surat penarikan diri yang dihantar pada 18 November lalu.
Menurut AFL, beberapa siri perbincangan telah diadakan bagi mencari jalan penyelesaian, namun pihak pengurusan Imigresen FC II tetap dengan keputusan untuk menarik diri.
Susulan itu, AFL mengesahkan semua perlawanan membabitkan pasukan berkenaan dibatalkan dan dianggap tidak sah.
Malah, semua mata serta jaringan gol yang direkodkan Imigresen FC II sepanjang lapan perlawanan sebelum ini turut tidak diambil kira.
Dalam perkembangan sama, AFL mengenakan hukuman penggantungan selama dua musim terhadap kelab itu daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran badan berkenaan.
Penggantungan membabitkan musim 2026/2027 dan 2027/2028 itu turut disertai denda sebanyak RM50,000.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, hukuman dikenakan kali ini lebih berat berbanding kes penarikan diri pasukan sebelum ini.
Beliau berkata, tindakan itu bertujuan memberi peringatan kepada semua pasukan supaya lebih bersedia dan bertanggungjawab mematuhi peraturan pertandingan.
“Kita tidak mahu perkara yang sama lagi berlaku di masa akan datang dan mencemarkan reputasi Liga A1 yang kini mendapat perhatian sebilangan besar peminat bola sepak tanah air,” katanya.
Sementara itu, saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 akan diteruskan mengikut perancangan asal dengan baki 16 minggu perlawanan membabitkan 13 pasukan.
Pertandingan itu dijadualkan berakhir pada Mei 2027 dengan perebutan kejuaraan liga diteruskan tanpa penyertaan Imigresen FC II. – DETIK MALAYSIA
