KAJANG – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) tampil membuat laporan polis susulan dakwaan serius penyalahgunaan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta yang dikaitkan dengan NexG Bhd.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas pihaknya meneliti maklumat awam serta laporan media dalam talian yang tersebar kebelakangan ini.
“Dakwaan ini membabitkan penggunaan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta ketika Victor Chin Boon Long memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) sekitar November 2024 hingga September 2025.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dana tersebut digunakan untuk beberapa transaksi besar yang menimbulkan persoalan dari segi ketelusan dan tadbir urus syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara transaksi yang menjadi perhatian termasuk pinjaman melalui MMR Capital, pelaburan dalam Classita serta pembelian saham MMAG daripada pihak berkaitan.
“Perkara ini menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus dan potensi konflik kepentingan, lebih-lebih lagi ia berlaku ketika syarikat mencatatkan kerugian nilai saksama serta kerugian bersih yang ketara,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, MCW memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh kerana isu tersebut turut memberi kesan kepada imej negara, keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau turut mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NexG, Datuk Abu Hanipah Noordin supaya disiasat dan tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan Victor Chin. – DETIK MALAYSIA