KUALA LUMPUR – Komuniti antarabangsa perlu segera menuntut akauntabiliti terhadap tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel susulan konflik yang disifatkan sebagai tidak berprovokasi terhadap Iran.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pengumuman oleh Donald Trump bahawa permusuhan telah berakhir tidak memadam implikasi besar dari segi undang-undang, kemanusiaan dan geopolitik yang tercetus sejak serangan bermula pada 28 Februari lalu.
Menurut beliau, penamatan operasi ketenteraan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak pertanggungjawaban terhadap tindakan yang didakwa mencabuli kedaulatan negara serta menggugat kestabilan serantau.
“Komuniti global perlu mendesak siasatan bebas berhubung kesahihan serangan tersebut serta memastikan pihak terlibat bertanggungjawab terhadap kehilangan nyawa awam, kemusnahan infrastruktur dan ketidakstabilan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa perlu memainkan peranan aktif dalam menilai konflik tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa semakan terhadap penggunaan kuasa eksekutif berkaitan perang di negara-negara terlibat serta tuntutan pampasan kepada pihak yang terkesan.
Menurut Mohd Azmi, konflik berkenaan mencerminkan trend berbahaya apabila kuasa besar bertindak secara unilateral tanpa menghormati kerangka undang-undang antarabangsa.
“Tiada gencatan senjata yang boleh menutup persoalan besar, siapa yang memberi kuasa untuk perang ini, apakah asas undang-undangnya dan siapa yang akan bertanggungjawab terhadap kemusnahan yang berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata, kegagalan komuniti antarabangsa untuk bertindak hanya akan mewujudkan precedent berbahaya yang membolehkan kuasa besar bertindak tanpa dikenakan tindakan.
“Tanpa akauntabiliti, undang-undang antarabangsa akan hilang makna dan keamanan global menjadi rapuh,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menyeru masyarakat dunia, pertubuhan sivil serta kerajaan bertanggungjawab untuk bersatu memastikan prinsip keadilan ditegakkan tanpa pilih kasih.
“Gencatan senjata bukan penamat. Akauntabiliti mesti bermula sekarang,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA