KUALA TERENGGANU – Koperasi HTK diberi pengiktirafan apabila dipilih menyertai sesi temu bual dan pertukaran pandangan berkaitan isu semasa pembasmian kemiskinan bersama Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) negeri, baru-baru ini.
Dalam sesi tersebut, koperasi berkenaan berkongsi pengalaman serta pandangan secara terbuka berhubung pelaksanaan program pembangunan luar bandar, khususnya dalam usaha menangani kemiskinan pelbagai dimensi.
Perbincangan turut menyentuh beberapa aspek penting termasuk corak dasar dan garis panduan kerajaan Persekutuan serta negeri dalam memacu kemajuan desa, selain menilai kerenah birokrasi di peringkat pelaksana dan penggubal undang-undang yang dilihat antara cabaran utama dalam usaha membasmi kemiskinan.
Selain itu, isu politik pembangunan yang boleh menjejaskan usaha menangani kemiskinan turut dibincangkan, di samping meneliti aspek pemikiran serta budaya masyarakat luar bandar dalam usaha keluar daripada kepompong kemiskinan.
Turut diketengahkan ialah cadangan idea bagi menoktahkan kemiskinan pelbagai dimensi serta mekanisme dan kaedah terbaik yang boleh digerakkan oleh kerajaan pusat dan negeri bagi mengurangkan kadar kemiskinan di kawasan luar bandar.
Sementara itu, pihak koperasi merakamkan penghargaan kepada UKM dan KKDW kerana memilih Kampung Teluk Ketapang sebagai model kajian dalam usaha memperkukuh strategi pembasmian kemiskinan luar bandar. – DETIK MALAYSIA