KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak terlalu selesa mempertahankan kelebihan satu gol menjelang aksi separuh akhir kedua Shopee Cup 2025/26 menentang Nam Dinh FC di Stadium Thien Truong, Vietnam, malam ini.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, kemenangan 2-1 pada aksi pertama belum cukup selamat dan Selangor perlu terus bermain secara menyerang bagi memburu slot ke final.
“Kami menjalani persiapan yang sangat baik untuk aksi di tempat lawan ini. Dari sudut psikologi dan mental, semua pemain memahami betapa pentingnya perlawanan ini.
“Secara taktikal, kami juga membuat persiapan rapi dalam beberapa hari terakhir dan saya percaya pasukan sudah bersedia,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Kim menjangkakan Nam Dinh akan tampil lebih agresif dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, namun menegaskan Selangor tidak akan hanya bertahan untuk mempertahankan agregat.
“Kami jangka Nam Dinh akan menyerang habis-habisan kerana mereka bermain di tempat sendiri.
“Tetapi kami bukan hanya bersedia untuk bertahan. Kami juga mempunyai strategi untuk menyerang mereka. Kelebihan satu gol masih belum cukup selesa, jadi kami mahu cari gol lagi,” jelasnya.
Beliau turut menjangkakan aksi terbuka dengan kedua-dua pasukan bakal bermain secara ofensif demi memburu tempat ke pentas final.
Dalam masa sama, Kim mengakui Nam Dinh memiliki beberapa pemain berbahaya di jentera serangan, namun yakin benteng pertahanan Selangor mampu mengekang ancaman lawan seperti dilakukan pada aksi pertama.
“Barisan pertahanan kami bermain dengan sangat baik sebelum ini. Kami mempunyai pertahanan yang kuat secara individu dan berpasukan.
“Untuk menang esok (malam ini), kami perlu ada keseimbangan yang tepat antara bertahan dan menyerang,” katanya.
Kim turut mengesahkan Selangor membawa skuad terbaik ke Vietnam tanpa sebarang masalah kecederaan atau penggantungan pemain, sekali gus memberinya lebih banyak pilihan untuk menentukan kesebelasan utama.
“Kami tidak boleh mensia-siakan peluang seperti ini. Saya percaya pemain memahami sepenuhnya situasi ini dan bersedia berjuang untuk ke final,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC