PETALING JAYA – Kekalahan politik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam perkembangan pilihan raya terbaharu dijangka memberi implikasi besar terhadap landskap geopolitik Asia Barat, khususnya isu Palestin, Gaza dan keselamatan serantau.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan politik di Washington dan Tel Aviv itu berpotensi membuka ruang kepada penyusunan semula hubungan kuasa di rantau berkenaan.
Menurut beliau, kedua-dua pemimpin mempunyai hubungan politik rapat dalam membentuk pendekatan AS-Israel terhadap konflik Palestin, isu Baitulmuqaddis, Iran serta hubungan diplomatik antara negara Arab dan Israel.
Bagaimanapun, beliau berkata, kekalahan seseorang pemimpin tidak semestinya membawa perubahan serta-merta terhadap dasar negara kerana institusi, kepentingan strategik dan komitmen keselamatan masih boleh diteruskan.
“Trump masih Presiden AS, namun kini berhadapan Kongres yang dikuasai Demokrat, manakala Netanyahu pula berdepan kedudukan politik tidak menentu selepas blok gabungannya gagal mengekalkan majoriti pemerintahan.
“Perkembangan ini mengecilkan ruang politik untuk kedua-dua pemimpin meneruskan dasar sedia ada tanpa penelitian dan tentangan lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas perkembangan di AS, Mohd Azmi berkata, kejayaan Parti Demokrat menguasai Senat dan Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 dan 4 November lalu merupakan tamparan politik terhadap pentadbiran Trump.
Katanya, isu kos sara hidup, tarif, perang dengan Iran dan ketidakpuasan terhadap hala tuju negara dikenal pasti antara faktor yang mempengaruhi pengundi.
Di Israel pula, katanya, blok gabungan Netanyahu gagal memperoleh majoriti dalam pilihan raya pada 27 Oktober lalu, sekali gus mencetuskan kebuntuan pembentukan kerajaan.
Menurut beliau, perkembangan itu turut memberi kesan terhadap hubungan strategik AS-Israel, khususnya berkaitan bantuan ketenteraan, penjualan senjata dan sokongan diplomatik Washington kepada Tel Aviv.
“Penguasaan Demokrat terhadap kedua-dua dewan Kongres boleh menyebabkan bantuan ketenteraan dan penjualan senjata kepada Israel diteliti dengan lebih ketat.
“Tindakan ketenteraan Israel di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan juga berpotensi menjadi bahan perbahasan lebih serius, termasuk isu perlindungan orang awam serta pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan Kongres tidak mempunyai kuasa tunggal menentukan keseluruhan dasar luar AS kerana Presiden masih mempunyai kuasa eksekutif yang luas dalam urusan diplomasi dan ketenteraan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, perubahan politik Israel juga tidak menjamin dasar terhadap Palestin berubah secara automatik memandangkan sebahagian parti pembangkang masih mempunyai pendirian tegas dalam aspek keselamatan dan ketenteraan.
Sehubungan itu, katanya, perjuangan Palestin tidak boleh bergantung semata-mata kepada pertukaran kepimpinan Israel, sebaliknya perlu diteruskan melalui tekanan diplomatik, tindakan undang-undang dan gerakan masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, antara perkara utama yang perlu diperjuangkan termasuk penamatan pendudukan, penghentian serangan terhadap orang awam, perlindungan Gaza, pembebasan tahanan secara sah serta pengiktirafan hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri.
Mengulas kedudukan Iran, beliau berkata, perubahan politik di AS dan Israel turut memberi kesan terhadap keseimbangan keselamatan Asia Barat memandangkan hubungan Washington, Tel Aviv dan Tehran terus menjadi faktor penting kestabilan serantau.
Katanya, kebuntuan politik di Israel juga berpotensi mempengaruhi keputusan strategik kerajaan Netanyahu, termasuk pendekatan terhadap Iran.
“Asia Barat tidak boleh terus dijadikan medan persaingan kuasa yang mengorbankan rakyat awam. Sebarang tindakan ketenteraan perlu berlandaskan prinsip keselamatan antarabangsa dan pematuhan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menilai semula strategi serantau, termasuk kebergantungan kepada kuasa besar dalam aspek keselamatan, persenjataan dan hubungan ekonomi.
Katanya, OIC perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada strategi bersama yang menggabungkan keupayaan diplomatik, ekonomi, kemanusiaan dan perundangan.
Menyentuh kepentingan Malaysia, Mohd Azmi berkata, negara perlu memanfaatkan perkembangan itu dengan memperluas hubungan diplomatik bersama anggota Kongres AS daripada kedua-dua parti, selain memperkukuh kerjasama ASEAN dan OIC.
Beliau turut mencadangkan Malaysia memperluas diplomasi undang-undang melalui sokongan terhadap mekanisme Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Dalam konteks peranan MAPIM, beliau berkata, pihaknya perlu memperkukuh diplomasi kemanusiaan antarabangsa, jaringan advokasi Parlimen, kerjasama masyarakat sivil serta usaha pembinaan semula Gaza yang turut mengambil kira hak kedaulatan rakyat Palestin.
“Perubahan politik di Washington dan Tel Aviv perlu diterjemahkan kepada ruang tindakan yang nyata untuk Palestin.
“Keadilan untuk Palestin tidak boleh bergantung kepada siapa yang menang atau kalah dalam pilihan raya AS dan Israel. Keadilan mesti menjadi prinsip yang mengikat semua kuasa dunia,” katanya.
Beliau berkata, selagi pendudukan berterusan, rakyat Palestin dinafikan hak menentukan nasib sendiri dan undang-undang antarabangsa gagal dikuatkuasakan secara konsisten, krisis Asia Barat tidak akan menemui penyelesaian berkekalan. – DETIK MALAYSIA
