KUALA TERENGGANU – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (HTK) merancang melaksanakan lima program berteraskan pendidikan dan pelancongan (Edu-Tourism) sepanjang tahun depan menerusi kerjasama strategik dengan beberapa rakan dalam dan luar negara.
Perancangan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Sekretariat Olympiad Championship 2027 yang turut disertai rakan strategik antarabangsa, termasuk Dr. Suriya dari Kementerian Pendidikan Selatan Thailand dan Presiden SEAAM Indonesia, Prof. Dr. Ismail Wake.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil Tourism Terengganu, Tourism Malaysia Terengganu (TMWT), Jabatan Pendidikan Terengganu, PASTEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ketua Pegawai Eksekutif TTI, Politeknik Hulu Terengganu, ANGKASA Terengganu, PPIM Terengganu, Muzium Terengganu, Dunia Melayu Dunia Islam Terengganu serta NACC Terengganu.
Majlis perasmian mesyuarat disempurnakan oleh Yang Mulia Dato’ Pengarah Tourism Terengganu.
Antara program yang dipersetujui ialah Young Student Cultural Immersion di Kuala Nerus pada 18 hingga 21 Januari 2027, diikuti ASEAN Symposium on Higher Education pada 5 hingga 11 Ogos 2027.
Selain itu, ASEAN Olympiad Championship Junior High School dijadual berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 16 hingga 19 Ogos 2027, manakala Asia Pacific Olympiad Championship Senior High School akan diadakan di UMT pada 6 hingga 9 September 2027.
Program kelima ialah ASEAN Youth Forum on Cultural & SDG yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2027.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat turut bersetuju mengadakan promosi Visit Truly Terengganu dan Visit Malaysia 2027 di Lampung, Makassar, Sabah serta Brunei bermula April hingga Jun tahun depan.
Koperasi HTK juga akan membantu pelaksanaan IMT-GR Islamic Olympiad Championship di Yala, Thailand, pada 23 hingga 25 Mac 2027 selain bekerjasama dalam Islamic Young Scholar Symposiums di Jakarta pada 5 hingga 7 Disember tahun depan.
Sementara itu, seramai 20 delegasi Koperasi HTK dan PPIM dijadual menyertai program Agenda Jakarta pada 7 hingga 10 Disember ini bagi memperkasakan pelaksanaan program Edu-Tourism 2027. – DETIK MALAYSIA
