KUALA TERENGGANU – Seramai 47 delegasi dari Thailand, Indonesia dan Singapura menyertai program Fam Trip Terengganu Darul Iman 2026 bagi mempromosikan sektor pelancongan negeri itu ke peringkat antarabangsa.
Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YM Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.
Delegasi yang hadir terdiri daripada pengamal media, ejen pelancongan, YouTuber, pempengaruh TikTok, institusi pelancongan, wartawan, persatuan homestay, pengusaha hotel dan pengendali pelancongan.
Dalam ucapannya, Tengku Mohd Arifin berharap semua delegasi dapat memainkan peranan mempromosikan kempen Visit Malaysia 2027 dan Visit Truly Terengganu 2027 di negara masing-masing.
Sempena majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Said Azmi atas sumbangannya menghasilkan lagu Sekejap di Terengganu dan Lagu Homestay Teluk Ketapang versi Indonesia.
Selain itu, Abu Rangkelih yang juga wartawan dari Aceh Barat menerima penghargaan atas kejayaannya membawa masuk 150 pelancong dari wilayah berkenaan ke Terengganu.
Penghargaan turut diberikan kepada Muzamil, Konsultan REAL EDU Indonesia, atas usaha membawa masuk 1,000 pengetua, guru dan pelajar ke negeri itu menerusi program Edu-Tourism sepanjang tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kem Pelancongan Seni Budaya Malaysia atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program Fam Trip Terengganu Darul Iman 2026. – DETIK MALAYSIA
