KUALA LUMPUR – Penyebaran kempen kebencian, provokasi dan ancaman menerusi media sosial berpotensi menggugat keselamatan awam sekiranya tidak dibendung segera.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghasut atau menggalakkan keganasan berasaskan kaum dan etnik.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian balingan bom petrol atau Molotov sehingga mengakibatkan kebakaran di kawasan kediaman yang dihuni warga Rohingya di Kulai, Johor, pada 13 Oktober lalu.
Katanya, tindakan empat lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 29 Oktober lalu atas pertuduhan melakukan khianat dengan api mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan menunjukkan kes berkenaan sudah memasuki proses perundangan.
“Namun, perkara yang lebih membimbangkan ialah kemungkinan wujudnya suasana permusuhan yang berkembang melalui penyebaran video, provokasi dan kempen kebencian di media sosial sehingga boleh mencetuskan tindakan keganasan fizikal.
“Kita tidak boleh membiarkan media sosial menjadi medan untuk mengapi-apikan kemarahan masyarakat, membina persepsi permusuhan antara kaum dan menggalakkan tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian di Kulai perlu dinilai dalam konteks lebih luas, khususnya bagaimana kandungan provokatif yang tular boleh membentuk suasana permusuhan dan mendorong tindakan agresif.
Katanya, sebarang kaitan antara video tular yang memaparkan individu dipercayai warga Rohingya mencabar masyarakat Melayu dengan kejadian serangan perlu dibuktikan menerusi siasatan, bukannya berdasarkan andaian atau tuduhan terbuka.
“Provokasi tidak menghalalkan keganasan. Keganasan pula tidak boleh dibenarkan atas alasan mempertahankan maruah sesuatu kaum,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM menegaskan setiap individu di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan, status pelarian, bangsa atau agama berhak mendapat perlindungan daripada sebarang ancaman terhadap nyawa dan keselamatan diri.
Jelasnya, warga Rohingya yang menjadi mangsa serangan tidak seharusnya dijadikan sasaran kolektif akibat tindakan atau kenyataan individu lain, sebagaimana masyarakat tempatan tidak boleh dipersalahkan secara keseluruhan atas perbuatan segelintir pihak.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa berkaitan menyiasat secara menyeluruh kandungan digital yang mengandungi unsur ancaman, hasutan keganasan dan provokasi berasaskan kaum.
Selain itu, pihak berkuasa perlu mengenal pasti individu yang menghasilkan atau menyebarkan kempen kebencian, meningkatkan pemantauan di kawasan penempatan berisiko serta memastikan mangsa dan saksi mendapat perlindungan sewajarnya.
MAPIM turut menggesa platform media sosial bertindak pantas terhadap kandungan yang menggalakkan keganasan, ancaman dan serangan terhadap komuniti tertentu.
Mengulas isu kehadiran pelarian, Mohd Azmi berkata, kebimbangan masyarakat tempatan berkaitan kemudahan awam, pekerjaan, perumahan, keselamatan dan penguatkuasaan imigresen perlu ditangani menerusi dasar awam yang jelas serta penguatkuasaan konsisten.
Bagaimanapun, katanya, sentimen anti-pelarian tidak boleh dibiarkan berkembang menjadi kebencian etnik yang mengancam keselamatan manusia.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan semula video, gambar atau dakwaan yang belum disahkan, khususnya kandungan yang boleh mencetuskan ancaman dan tindakan balas.
“Kejadian di Kulai harus menjadi amaran serius bahawa penyebaran kebencian tanpa kawalan boleh membawa akibat yang amat berbahaya kepada keharmonian dan keselamatan negara.
“Kita mesti tegas terhadap keganasan, tegas terhadap hasutan, tegas terhadap ancaman dan pada masa sama tegas mempertahankan prinsip keadilan untuk semua,” katanya. – DETIK MALAYSIA
