PETALING JAYA – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) merakamkan penghargaan kepada lebih 20 juta pelanggannya atas kepercayaan dan sokongan berterusan menerusi inisiatif Customer Day 2026.
Inisiatif tahunan itu bertujuan mendekatkan warga kerja syarikat berkenaan dengan pelanggan bagi memahami keperluan mereka yang sentiasa berubah.
Program yang diadakan di beberapa lokasi utama seluruh negara itu turut menjadi sebahagian daripada usaha CelcomDigi membudayakan pendekatan mengutamakan pelanggan dalam organisasi berkenaan.
Menerusi penglibatan secara langsung, warga kerja berpeluang memahami pengalaman serta keutamaan pelanggan dengan lebih mendalam.
Maklum balas yang diperoleh sepanjang sesi berkenaan turut melengkapi maklumat dan data pelanggan daripada saluran lain bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai keperluan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, Customer Day merupakan antara tradisi paling bermakna syarikat itu kerana memberi peluang kepada pihaknya untuk menyampaikan penghargaan secara peribadi kepada pelanggan.
“Sebagai penyedia telekomunikasi terbesar di Malaysia, kami menyedari tanggungjawab untuk memastikan rakyat terus berhubung serta menyediakan pengalaman perkhidmatan yang boleh dipercayai.
“Pada hari ini, seluruh warga kerja kami turun padang dan mendengar suara pelanggan yang mengingatkan bahawa setiap hubungan komunikasi melibatkan pelanggan dengan keperluan, jangkaan dan aspirasi tersendiri.
“Penglibatan ini membantu kami menambah baik produk dan perkhidmatan, selain memperkukuh budaya mengutamakan pelanggan kerana mereka merupakan nadi kepada rangkaian kami,” katanya. – DETIK MALAYSIA
