KUALA LUMPUR – Kuching City FC (KCFC) terus mencari kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) selepas tewas 0-1 kepada wakil Korea Selatan, Gangwon FC, dalam aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Gangneung, Gangneung, hari ini.
Jaringan Choe Byeong-chan pada minit ke-27 sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat Gangwon dalam kempen tersebut.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kekal di tangga tercorot Kumpulan H dengan hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.
Sebelum ini, Kuching City tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown sebelum terikat 1-1 ketika menentang Kitchee di laman sendiri.
Gangwon pula mengutip empat mata daripada tiga perlawanan selepas sebelum ini seri tanpa jaringan menentang Kitchee dan tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown.
Dalam aksi tersebut, Kuching City terpaksa berdepan asakan awal tuan rumah yang tampil agresif menerusi Lee Seung-won dan Kim Gun-hee.
Gangwon hampir membuka jaringan seawal minit ketujuh apabila Kim Dae-won memperoleh peluang di dalam kotak penalti, namun percubaannya berjaya disekat James Okwuosa.
Penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli turut beraksi cemerlang apabila menepis percubaan kencang Kim pada minit ke-12 sebelum Ariff Farhan Md Isa menghalang bola daripada menerjah gawang.
Bagaimanapun, Gangwon akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-27 apabila Choe mengawal hantaran Kang Jun-hyuk sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menewaskan Haziq.
Kuching City cuba bangkit dengan Ramadhan Saifullah memperoleh peluang seminit kemudian, namun percubaannya tersasar.
Dylan Wenzel-Halls turut gagal memanfaatkan peluang pada minit ke-32 apabila rembatannya melambung tinggi, manakala tandukan Okwuosa hasil situasi kelam-kabut di depan gawang selepas sepakan penjuru pada minit ke-38 juga tidak menghasilkan jaringan.
Bersambung babak kedua, Kuching City meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan, namun gagal menguji penjaga gol Gangwon, Park Cheong-hyo secara serius.
Benteng pertahanan tuan rumah yang dikemudi pemain antarabangsa Korea Selatan, Shin Min-ha, terus mengekang usaha skuad pelawat.
Peluang terbaik Kuching City pada penghujung perlawanan menerusi Ramadhan pada minit ke-79 turut berakhir dengan kekecewaan apabila percubaannya tersasar di sebelah kanan gawang.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Gangwon meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen ACL2 musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC
