KUALA LUMPUR – Peluang memenangi tiket MotoGP percuma antara tarikan utama program Sembang Santai MotoGP bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Fifty Seven Coffee, Semenyih, pada Khamis.
Program yang bermula jam 9 malam itu turut menampilkan persembahan Azlan & The Typewriter selain cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung.
Jurucakap program berkata, acara berkenaan memberi peluang kepada peminat sukan permotoran dan orang ramai berkumpul serta berinteraksi secara santai bersama pemimpin negara.
“Penganjuran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk beramah mesra dengan pemimpin negara sambil menikmati pelbagai pengisian yang menggabungkan elemen sukan, hiburan dan kebersamaan masyarakat,” katanya kepada Detik Malaysia di sini hari ini.
Selain itu, program berkenaan turut menampilkan Sumbangan Kasih sebagai usaha menyantuni golongan yang memerlukan, sekali gus mengetengahkan aspek kebajikan masyarakat.
Menurutnya, gabungan sesi sembang santai, persembahan muzik dan cabutan bertuah dijangka memeriahkan program berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan acara berkenaan. – DETIK MALAYSIA
