ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan wakil Thailand, Port FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Kemenangan itu turut menyaksikan skuad Harimau Selatan meraih kemenangan pertama di laman sendiri dalam kempen Asia musim ini hasil aksi menyerang yang lebih bertenaga pada babak kedua.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz mengekalkan kesebelasan utama yang membantu pasukan menewaskan Pohang Steelers sebelum ini.
Bagaimanapun, Port FC kendalian Bozidar Bandovic tampil dengan formasi 5-4-1 bagi menyekat asakan tuan rumah dan bergantung kepada penyerang, Issam Al-Subhi untuk mencipta peluang.
JDT menguasai permainan pada separuh masa pertama, namun gagal menembusi benteng pertahanan pelawat yang berdisiplin apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, JDT meningkatkan tekanan sebelum Jonathan Silva memecah kebuntuan pada minit ke-53.
Sembilan minit kemudian, Bergson da Silva menggandakan kelebihan JDT selepas masuk menggantikan Shahab Zahedi. Bagaimanapun, penyerang itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan hanya lima minit selepas beraksi.
Munoz memasukkan Stoichkov bagi menggantikan Bergson pada minit ke-64.
Port FC menyangka mereka berjaya merapatkan jurang menerusi Jude Soonsup-Bell, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Stoichkov kemudian memastikan kemenangan JDT lebih bergaya apabila meledak gol ketiga pada minit ke-86 menerusi gerakan menarik bersama Arif Aiman Hanapi dan Nahuel Leiva.
Penyerang yang pernah beraksi bersama Granada itu menyudahkan peluang dengan menewaskan penjaga gol Port FC, Michael Falkesgaard.
Keputusan itu mengekalkan rekod tanpa kalah JDT dalam kempen Asia musim ini, manakala Port FC menelan kekalahan ketiga selepas turut tewas kepada dua wakil Jepun, Vissel Kobe dan Kashiwa Reysol.
JDT kini mengalihkan tumpuan kepada pertemuan penting menentang juara K-League 1 2025, Jeonbuk Hyundai Motors, sementara Port FC bakal berdepan Beijing Guoan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
