ISKANDAR PUTERI – Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mengakui mahu beraksi dalam setiap perlawanan meskipun berdepan jadual padat membabitkan Liga Super, Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Arif berkata, aspek kecergasan dan persiapan rapi menjadi keutamaannya bagi memastikan dia mampu mengekalkan prestasi terbaik setiap kali diturunkan.
“Bagi saya, rehat itu penting, tetapi saya mahu bermain dalam setiap perlawanan.
“Tidak kira Liga Super, Piala Sumbangsih, Piala FA atau Liga Juara-Juara. Apa yang penting ialah saya membuat persiapan untuk berada pada tahap terbaik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Port FC.
Pemain kebangsaan itu mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika JDT menewaskan wakil Thailand itu 3-0 dalam aksi peringkat liga Zon Timur ACLE 2026/2027.
Arif turut mengulas peranannya yang kini lebih banyak beraksi di posisi tengah menyerang sebagai pemain nombor 10, berbanding posisi sayap kanan yang menjadi kebiasaannya sebelum ini.
Menurutnya, perubahan posisi itu merupakan cabaran baharu yang perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan lagi kualiti permainannya.
“Sebelum ini, saya bermain di posisi kanan, tetapi sekarang saya bermain sebagai pemain nombor 10.
“Itu satu cabaran buat saya dan saya menerimanya sebagai peluang untuk menjadi lebih berjaya,” katanya.
Peranan di posisi tengah dan sesekali di bahagian kiri turut memberikannya ruang untuk memaksimumkan kelebihan ketika menyerang serta mencipta peluang buat rakan sepasukan.
Arif berkata, dia tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian lalu, sebaliknya mahu terus memberikan sumbangan kepada skuad Harimau Selatan ketika pasukan itu mengharungi jadual perlawanan yang padat bulan depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
