ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menyifatkan peluang membimbing skuad Harimau Selatan sebagai sesuatu yang menakjubkan selepas pasukannya menewaskan Port FC 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/2027.
Jurulatih dari Sepanyol itu berpuas hati dengan kesabaran pemainnya dalam memecahkan benteng pertahanan rapat wakil Thailand berkenaan, terutama ketika berdepan situasi sembilan atau 10 pemain lawan berada di belakang bola.
Menurutnya, pergerakan bola yang bijak dari satu sisi ke sisi lain menjadi antara kunci untuk membuka ruang dan mengatasi corak permainan bertahan pelawat.
“Mereka memahami bahawa dalam situasi tertentu, mereka perlu bersabar, menggerakkan bola dan mengalihkan blok pertahanan lawan dari satu sisi ke sisi lain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Xisco turut memuji perubahan taktikal pada babak kedua, termasuk usaha menambah pemain di dalam kotak penalti serta memanfaatkan ruang di bahagian sayap.
Pendekatan itu membolehkan JDT mencipta kelebihan di kawasan tertentu sebelum membuka ruang untuk Jonathan Silva meledak gol pembukaan pada minit ke-53.
Bagaimanapun, kemenangan itu sedikit tercalar susulan kecederaan penyerang utama, Bergson da Silva yang terpaksa dikeluarkan selepas menjaringkan gol kedua JDT.
Xisco mengesahkan Bergson sudah mengadu berasa tidak selesa beberapa ketika sebelum menjaringkan gol berkenaan, manakala keputusan pemeriksaan imbasan MRI masih ditunggu bagi mengetahui tahap kecederaannya.
“Bulan depan sangat penting buat kami dan kami memerlukan pemain-pemain utama berada dalam keadaan baik pada tempoh ini,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan JDT meneruskan rekod tanpa kalah dalam kempen Asia musim ini, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan menjelang jadual perlawanan yang semakin mencabar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
