SEPANG – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bertekad melupakan kekecewaan pada penampilan sulung di Grand Prix (GP) Australia di Phillip Island apabila turun beraksi pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), bermula esok hingga 1 November ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mahu memberikan aksi terbaik di hadapan puluhan ribu peminat tempatan yang dijangka membanjiri litar berkenaan.
Menurut ZK Racing, pelumba berusia 19 tahun kelahiran Terengganu itu kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi perlumbaan di laman sendiri selepas penampilannya di Phillip Island tidak berjalan seperti dirancang.
Hakim Danish bergelut mencari rentak terbaik dalam keadaan mencabar dan dijadualkan memulakan perlumbaan dari petak ke-25, namun tidak berpeluang memperbaiki kedudukan selepas semua perlumbaan Ahad dibatalkan akibat hujan berterusan dan jarak penglihatan yang terhad sehingga helikopter perubatan tidak dapat beroperasi.
Pelumba itu melihat GP Malaysia sebagai peluang untuk mengutip mata kejuaraan berharga selain membuktikan kemampuannya di hadapan penyokong sendiri.
Hakim Danish sebelum ini sudah menunjukkan potensinya apabila membuat penampilan sulung dalam kelas Moto3 sebagai pelumba wildcard pada GP Malaysia tahun lalu.
Dia berjaya mara terus ke sesi kelayakan kedua (Q2), memulakan perlumbaan dari petak ke-12 dan mencatatkan pusingan terpantas perlumbaan.
Bagaimanapun, masalah teknikal ketika perlumbaan berbaki lima pusingan menamatkan peluangnya untuk meraih kedudukan 10 terbaik.
Dengan persaingan dalam kelas Moto3 yang semakin sengit, Hakim Danish memberi perhatian khusus kepada sesi latihan bebas dan kelayakan bagi memastikan kedudukan permulaan lebih baik kali ini.
ZK Racing percaya perlumbaan di Sepang menjadi pentas penting untuk pelumba itu membuktikan perkembangan dan kematangannya sepanjang musim pertama beraksi sepenuh masa dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
“Ini perlumbaan di laman sendiri dan saya sangat gembira serta teruja untuk beraksi pada GP Malaysia. Sudah tentu saya lebih bermotivasi dan tidak sabar untuk memulakan perlumbaan hujung minggu ini.
“Saya mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan, Malaysia, keluarga dan semua pihak. Saya harap dapat memberikan aksi terbaik sepanjang hujung minggu ini,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, sokongan peminat tempatan mampu memberikan motivasi tambahan kepada pelumba muda berkenaan.
“Beraksi di laman sendiri pastinya memberikan motivasi tambahan kepada Hakim Danish. Dia tahu sokongan peminat Malaysia sangat besar dan kami berharap dia dapat menggunakan semangat itu untuk memberikan aksi terbaik sepanjang hujung minggu ini.
“Danish sudah membuktikan kemampuannya musim ini, termasuk meraih kemenangan pada GP Republik Czech. Kami mahu dia membawa keyakinan itu ke Sepang, bekerja keras dalam setiap sesi dan merebut setiap peluang untuk memperoleh keputusan terbaik,” katanya.
Zulfahmi berkata, perkara paling penting adalah memastikan Hakim Danish menikmati perlumbaan di hadapan penyokong sendiri, kekal fokus dan memberikan sepenuh usaha sejak sesi latihan pertama.
Beliau berharap perlumbaan hujung minggu ini menjadi pengalaman membanggakan buat pelumba itu serta seluruh peminat sukan permotoran negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
