SHAH ALAM – Kerajaan digesa memperkukuh peranan dan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memantau pasaran barangan halal bagi melindungi hak pengguna serta memastikan integriti produk yang dijual di negara ini terpelihara.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu halal tidak seharusnya tertumpu kepada proses pensijilan dan pengeluaran sijil semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pengawasan menyeluruh sepanjang rantaian bekalan.
Menurutnya, pemantauan itu merangkumi aspek pengedaran, penyimpanan, pengendalian, pelabelan dan penjualan produk kepada pengguna.
Katanya, PBT mempunyai kedudukan strategik kerana menjadi institusi kerajaan paling hampir dengan aktiviti perniagaan dan pasaran di peringkat tempatan.
“PBT berurusan secara langsung dengan premis perniagaan, pasar awam, pasar raya, restoran, medan selera, pusat penyimpanan makanan dan pelbagai bentuk kegiatan perdagangan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MAPIM mencadangkan enam langkah utama bagi memperkasakan pengawasan halal di peringkat tempatan.
Antaranya, memperkukuh pemeriksaan berkala terhadap premis makanan, memastikan ketelusan sumber bekalan ayam dan daging serta memantau penggunaan logo dan dakwaan halal yang mengelirukan.
Selain itu, PBT dicadangkan mempertimbangkan syarat pelesenan yang menggalakkan pengusaha mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), khususnya bagi premis yang menyasarkan pengguna Muslim atau membuat dakwaan produk dan perkhidmatan mereka adalah halal.
MAPIM turut mencadangkan setiap PBT menyediakan saluran aduan khusus berkaitan integriti halal serta menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Integriti Halal Daerah bagi menyelaras tindakan antara agensi.
Menurut Mohd Azmi, jawatankuasa berkenaan perlu membabitkan PBT, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Dalam pada itu, beliau menjelaskan urusan pensijilan halal mempunyai kerangka perundangan tersendiri, manakala PBT masih mempunyai peranan dalam aspek pelesenan, pemeriksaan premis, pengendalian makanan dan kesihatan awam.
Katanya, peranan itu perlu dilaksanakan berdasarkan bidang kuasa undang-undang masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peniaga dan pengguna.
MAPIM turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan model pengawasan halal bersepadu yang menghubungkan tiga peringkat tanggungjawab iaitu pensijilan oleh JAKIM dan JAIN, penguatkuasaan oleh KPDN serta agensi berkaitan dan pengawasan tempatan oleh PBT.
“Status halal sesuatu produk perlu dipelihara dari peringkat bahan mentah sehingga sampai kepada pengguna.
“Kita tidak boleh membiarkan pengguna menanggung risiko akibat kegagalan koordinasi antara agensi, kelemahan pemantauan atau ketidakjelasan maklumat sumber bekalan,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menyeru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), KPDN, JAKIM serta kerajaan negeri mengadakan perbincangan bagi merangka pelan tindakan nasional untuk memperkasakan peranan PBT dalam pengawasan pasaran halal. – DETIK MALAYSIA
