KUALA LUMPUR – Hampir 100 kakitangan Media Mulia Sdn. Bhd., penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!, terbabit dalam pelaksanaan Program Cuti Berbayar (Paid Leave Programme) susulan langkah penilaian semula model perniagaan serta struktur operasi syarikat itu.
Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd. Wahid Idris berkata, langkah rasionalisasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan perniagaan susulan perubahan landskap industri media yang kini semakin tertumpu kepada platform digital.
Menurutnya, syarikat bagaimanapun tetap komited meneruskan penerbitan akhbar bercetak bagi memenuhi keperluan pembaca yang masih setia mendapatkan berita menerusi medium berkenaan.
“Program ini bertujuan menilai semula keperluan operasi, penggunaan sumber manusia dan keupayaan syarikat untuk memberi penekanan kepada kandungan digital, platform penyampaian berita yang lebih berkualiti dan efektif serta kemampanan perniagaan syarikat untuk masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini.
Abd. Wahid berkata, langkah rasionalisasi itu juga akan memastikan identiti dan legasi jenama Utusan Malaysia serta Kosmo! terus dikekalkan.
Katanya, keunikan kandungan, identiti editorial, pendekatan pemberitaan dan kredibiliti kedua-dua penerbitan berkenaan akan terus dipelihara.
Beliau berkata, pengurusan sedia ada sebelum ini telah menyelamatkan kedua-dua jenama akhbar bersejarah itu selepas pemilik terdahulu menamatkan operasi pada 2019.
“Justeru, penyesuaian strategik perlu demi memastikan kelangsungan kedua-dua jenama dan organisasi ini supaya tidak berulang nasib sama seperti sebelumnya,” katanya.
Mengulas mengenai kebajikan kakitangan yang terlibat, Abd. Wahid berkata, syarikat tetap komited menjaga hak serta kebajikan mereka mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Tambahnya, langkah transformasi itu perlu dilaksanakan bagi menjamin masa depan jenama Utusan Malaysia dan Kosmo!, selain memastikan kandungan editorial yang dihasilkan terus berkualiti, berwibawa serta dipercayai. – DETIK MALAYSIA
