PULAU PINANG – Penang FC menutup kempen Liga Super Malaysia 2025/26 dengan bergaya apabila bangkit menewaskan DPMM FC 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam tadi.
Kemenangan itu menamatkan penantian hampir empat bulan buat skuad Harimau Kumbang untuk kembali meraih tiga mata dalam saingan liga.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-41 menerusi Jordan Murray hasil gerakan pantas bekas pemain kebangsaan, Syafiq Ahmad.
Syafiq melakukan larian menarik sebelum melorongkan bola kepada Ibrahim Sulley yang bijak menghantar hantaran lintang rendah untuk disudahkan Murray mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Penang FC tampil lebih agresif selepas rehat dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-58.
Penyerang import Australia, Dylan Wenzel-Halls memanfaatkan kesilapan benteng DPMM sebelum melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti untuk menewaskan Haimie Abdullah Nyaring.
Sorakan penyokong tuan rumah terus bergema apabila kapten pasukan, Stefano Brundo menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Adib Ra’op pada minit ke-82.
Namun, drama terus berlaku apabila Penang FC terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas pemain gantian, Chia Rou Han mengalami kecederaan ketika pasukan sudah menggunakan semua pertukaran pemain.
Walaupun berdepan tekanan di penghujung permainan, skuad Harimau Kumbang berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat sekali gus menutup musim dengan kemenangan bermakna di laman sendiri. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Penang FC